KUALA LUMPUR: Penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru semua ahli UMNO agar tidak henti berbakti dengan semangat gagasan kebersamaan demi perjuangan.
Beliau merayu kepada keseluruhan kepimpinan agar dapat beri kepercayaan kepadanya yang akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.
“Sesungguhnya, dengan setiap sokongan dan dokongan yang diberi, perjuangan untuk UMNO dan ahli-ahlinya, tiada noktah pengakhiran bagi diri saya untuk terus berbakti atas semangat Gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan.
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk bangsa Melayu dan UMNO.
“Akhir sekali, berbekalkan pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran di peringkat Negeri dan Persekutuan serta kepercayaan yang diberi, saya berazam dan beriltizam untuk mencari jalan, berusaha dan berikhtiar yang terbaik untuk UMNO,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Padang Terap berkata demikian pada sidang media mengumumkan diri sebagai calon Naib Presiden, selepas menghantar borang pencalonan untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden di Hotel Seri Pacific, di sini, pada Khamis.
Pemilihan parti UMNO bermula pada Mac depan, bagaimanapun dua jawatan nombor satu dan dua, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan dipertandingkan.
Setakat ini, selain Mahdzir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada Pemilihan UMNO 2023.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat sebarang pengumuman.
Nama lain dikatakan mengintai peluang untuk menjadi calon Naib Presiden UMNO ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata, perpecahan dalam kalangan pemimpin parti perlu diredakan dan dikurangkan, baik waktu pemilihan atau selepas pemilihan.
“Lebih penting lagi, sokongan dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti juga perlu dikembalikan dengan penuh keyakinan
atas sifat ‘Satu Hati’.
“Lebih-lebih lagi, kita akan berhadapan dengan PRN di enam negeri, dan PRU-16 kelak. Meskipun ia akan berlaku lama lagi, tetapi parti perlu bersedia dari sekarang dengan melakukan anjakan paradigma yang tuntas.
“Saya turut berpandangan, UMNO memerlukan Kesatuan Fikiran atau Wahdatul Fikr. Kesatuan ini harus menjadi teras utama kepada usaha kita membina semula UMNO.
“Gerak kerja kita harus didasari kesatuan matlamat, kesatuan ideologi dan kesatuan niat.
“UMNO berhadapan cabaran besar pada tahun 2018 dan tahun 2022 apabila sebagai parti besar berusia lebih 70 tahun tetapi gagal menang majoriti dalam pilihan raya.
“Bagaimanapun parti ini dalam keadaan cukup dewasa untuk bergerak, untuk masyarakat menilai balik dalam waktu tertentu.
“Saya yakin UMNO boleh kembali sebagai parti gah, dihormati dan kembali sebagai parti keramat orang Melayu,” katanya.