PEMINAT e-sukan pasti kenal dengan Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz berusia 29 tahun dan merupakan seorang bekas pemain profesional bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Selepas bersara sebagai pemain profesional, Soloz masih menjadikan e-sukan sebagai kerjayanya tetapi sebagai penstrim di Facebook. Untuk rekod, Soloz merupakan penstrim pertama di Malaysia yang berjaya mendapat 1,000,000 pengikut di Facebook. Selain itu, Soloz telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records selepas berjaya memecahkan rekod apabila dia berjaya meraih 100,000 penonton setelah mendiamkan diri seketika semasa strimnya.
Hari ini, Soloz telah diumumkan sebagai pemain keenam pasukan Homebois untuk permainan MLBB. Pengumuman itu dibuat melalui satu video yang memperkenalkan barisan pemain Homebois dan pada minit-minit terakhir, muncul sosok tubuh Soloz di dalam video tersebut. Soloz akan bersama Homebois bagi mengharungi MPL MY musim ke-11.Â
Sebelum ini, Soloz pernah bersama pasukan Saiyan, AirAsia Saiyan dan Team Boskurr semasa berada di dalam arena kompetitif MLBB. Soloz juga pernah menyumbang pingat gangsa untuk kontinjen Malaysia semasa Sukan SEA 2019 di Filipina. Dengan sumbangannya dalam arena e-sukan, Soloz telah menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Negeri Sembilan pada tahun 2022, lapor My Game On.