HomeMV+EksklusifNafkah anak daripada 25 peratus pendapatan bapa - peguam

Nafkah anak daripada 25 peratus pendapatan bapa – peguam

KUALA LUMPUR: Meskipun tidak lagi berstatus billionaire, rapper dan penerbit Amerika Syarikat, Ye yang juga bekas suami Kim Kardashian, tetap menanggung nafkah empat anaknya.

Selepas ditamatkan kontrak dengan jenama sukan terkemuka dunia, Adidas, Ye kini hanya memiliki beberapa aset hartanah kerana sebilangan daripada aset miliknya sudah dilelong.

Walaupun tidak memiliki bangunan komersial, Ye atau lebih dikenali sebagai Kanye West, dalam pengetahuannya bersetuju melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan sejumlah (AS$200,000) iaitu sekitar hampir RM1juta secara bulanan kepada anak-anaknya.

Keputusan itu dicapai dalam kesepakatan antara Kim dan Ye pada 2022, selepas perceraian mereka pada Mac tahun sama.

Meskipun kedua mereka bukanlah seorang muslim, namun Ye masih melaksanakan tanggungjawab dalam menanggung nafkah terhadap anak-anaknya.

Peguam, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir dari firma Nizam Bashir & Associates, tampil memberi ulasan secara lebih meluas dan tidak terhad terhadap pertikaian pihak tertentu.

“Pertama sekali, perlu ditekankan bahawa nafkah anak bertujuan untuk memastikan keperluan asas mana-mana anak tersebut dapat ditanggung oleh pihak yang memiliki hak penjagaan.

“Lazimnya, ia merangkumi kos yang dialami untuk keperluan asas anak seperti tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman, perubatan, pengangkutan ke sekolah, kos pelajaran dan wang saku sekolah atau tuition atau kolej.

Nizam menjelaskan, nafkah anak adalah di bawah tanggungjawab bapa kandungnya dan ini diperuntukkan oleh Seksyen 72(1) Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

“Amaun nafkah adalah satu perkara yang kadang kala menjadi punca pertikaian pihak-pihak.

“Mungkin ini disebabkan oleh hakikat bahawa jumlah nafkah juga bergantung kepada kemampuan.

“Namun, sebagai garis panduan, tidak mustahil bahawa 25 peratus daripada pendapatan bulanan bapa yang bertanggungjawab diketepikan untuk tujuan nafkah anak.

“Jika contohnya, pendapatan bulanan bapa adalah RM2 juta, maka jika 25 peratus bermakna RM500,000 adalah nafkah anak-anak.

“Ada negara di mana suatu kadar peratusan dari pendapatan mingguan atau bulanan ibu bapa telah dijadikan suatu perkara yang perlu dipatuh secara undang-undang,” ulasnya.

Beliau berkata, kemungkinan peratusan tersebut akan menurun sedikit sekiranya seorang ayah itu merupakan individu “high net worth” atau individu bernilai bersih tinggi tetapi sumbangannya masih dibuat.

“Sebagai contoh, Kanye West diperintahkan menyumbang sebanyak US$200,000 sebulan kepada Kim Kardashian untuk nafkah anak,” katanya.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed menyebelahi bekas isteri ahli perniagaan, Emilia Hanafi berhubung jumlah nafkah bagi tiga anak lelakinya yang ditanggung bapa mereka.

Normaziah menegaskan, jumlah RM6,000 bagi tiga anak lelaki kepada ibu tunggal itu tidak wajar dipersoal kerana bapa mereka adalah seorang jutawan.

Terdahulu, Emilia dilaporkan memberi keterangan berhubung usahanya dalam membesarkan anak-anak kepada Majistret Nadia Othman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Dalam prosiding berkenaan, Emilia menyatakan bahawa dia mengambil jalan dengan menjual makanan dari rumah seperti membuat roti jala, pulut kuning, rendang daging dan kerepek bayam.

Menurut Emilia, dia menanggung anak-anak daripada segi sara hidup memandangkan nafkah diberi tidak cukup berikutan anak-anak belajar di sekolah antarabangsa sejak sebelum berpisah.

Kini, selain anak-anak tidak diberi tempat tinggal oleh bapa mereka, Emilia juga terpaksa menguruskan hantar dan ambil mereka dari sekolah, kos bagi kelas tambahan, pakaian seragam, buku-buku sekolah antarabangsa dan menanggung kos pengangkutan anak-anak.

Author

Pilihan Editor