HomeNiagaPADU sasarkan 50 masjid miliki kiosk e-zakat

PADU sasarkan 50 masjid miliki kiosk e-zakat

CHERAS: Program PADU di bawah inisiatif syarikat IT Intact Media Sdn Bhd menyasarkan 50 masjid Wilayah Persekutuan memiliki platform pembayaran digital kiosk e-zakat sepanjang tahun ini.

PADU adalah program digitalisasi Ummah berteraskan konsep Madani Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan Intact Media dalam memperkenalkan kiosk e-zakat.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Rishi Ross berkata, zakat, sedekah, infaq, dan waqaf merupakan sebahagian daripada pengurusan ekonomi umat Islam yang telah berjalan sejak zaman nabi lagi.

“Namun banyak ketirisan apabila ia dilakukan secara manual (orang perseorangan).

“Dengan penggunaan kiosk seperti ini, sudah ada rekod kemasukan dan pengeluaran, mudah untuk diaudit.

“Di era digitalisasi dan revolusi teknologi maklumat yang semakin diterima pakai oleh masyarakat, umat Islam tidak boleh ketinggalan dalam melestarikan penggunaan kiosk seperti ini.

“Ia bukan sahaja tertakluk kepada fungsi membayar zakat tetapi pengguna boleh membuat urusan seperti bayaran bil fasiliti, tambah nilai telefon, bil telekomunikasi, aplikasi e-wallet, merchantrade, dan sebagainya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran kiosk e-zakat, pembayaran layan diri di Masjid Al Mukhlisin Alam Damai yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Rishi memberitahu, PADU turut terlibat dengan kempen menaiktaraf pengurusan dan pembayaran usahawan kecil dan penjaja supaya mereka tidak ketinggalan dari sudut teknologi yang boleh menggandakan keuntungan dan merekodkan sistem pengurusan yang mapan dan stabil.

“Khidmat pembayaran digital begini perlu diperluaskan secara optimum melalui penyediaan penyelesaian pembayaran yang meluas untuk perniagaan menerima dan memproses pembayaran dalam talian dengan lancar,” katanya.

Author

Pilihan Editor