HomePendidikanPlanetmahir tawar tutor maya RM10 satu subjek 

Planetmahir tawar tutor maya RM10 satu subjek 

PETALING JAYA: Planetmahir Sdn Bhd mengumumkan produk kelas digital dalam talian, MAHIR Tutor, dibuka kepada semua pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.

Menariknya, MAHIR Tutor boleh dilanggan dengan harga hanya RM10 sebulan bagi satu subjek.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, Kelas Tutor Digital itu sebelum ini hanya boleh diakses oleh pelajar secara percuma di bawah program tajaan khas untuk kumpulan pelajar dari keluarga golongan B40.

Katanya, MAHIR Tutor yang juga merupakan sebuah Sekolah Maya, kini mempunyai lebih 50,000 pelajar di seluruh negara.

“MAHIR Tutor adalah kelas digital dalam talian yang menggunakan teknologi video-on-demand di mana semua subjek pengajaran telah direkodkan dan boleh diakses secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana jua, khususnya subjek paling lemah.

“Ia boleh diakses sama ada melalui laman web planetmahir.com/tutor atau aplikasi mudah alih, Planetmahir yang dibangunkan dengan bantuan MDEC di bawah program Geran Pembangunan Kandungan (DCG),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘Planetmahir 2.0’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Planet Mahir Sdn Bhd, Datuk Mohd Husni Salleh, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Pada majlis sama, Planetmahir turut mengumumkan pelancaran Sistem Pengurusan Latihan atau TiMS (Training Management System), khusus untuk kegunaan agensi kerajaan dan Penyedia Latihan.

“TiMS diperkenalkan bagi tujuan memudahkan pengurusan dan pengendalian latihan, kursus serta program secara dalam talian.

“Jadi, Planetmahir mensasarkan TiMS akan mula memasuki pasaran global pada suku kedua tahun ini.

“Planetmahir juga sedang giat melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan teknologi terkini di dalam bidang pendidikan dan latihan termasuk pembangunan teknologi hologram dan Extended Reality atau XR”, katanya.

Sementara itu, Planetmahir menyasarkan 30 peratus daripada kira-kira 500,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menggunakan MAHIR Tutor, selepas dilancarkan malam ini.

“Cuma cabaran yang kita hadapi adalah kesedaran terhadap penggunaan MAHIR Tutor selain capaian internet di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, MAHIR Tutor ada di kawasan pedalaman secara percuma, di asrama di sekolah masing-masing juga ada,” katanya.

Author

Pilihan Editor