HomeMV+EksklusifRujuk JKM sebelum hantar ke pusat pemulihan - Isteri MB Selangor

Rujuk JKM sebelum hantar ke pusat pemulihan – Isteri MB Selangor

SHAH ALAM: Bimbang melihat isu penderaan di pusat pemulihan, isteri kepada Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad mengesyorkan ibu bapa agar merujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlebih dahulu.

Masdiana yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) berkata, sebelum hantar anak ke mana-mana pusat pemulihan, ibu bapa disarankan merujuk JKM.

Pada masa sama, diingatkan supaya bukan sekadar mendengar ‘buah mulut’ orang lain tanpa mengetahui status pusat pemulihan berkenaan berdaftar atau sebaliknya.

“Kalau boleh, jangan hantar ke tempat (pusat pemulihan) tidak berdaftar. Kita sebagai ibu bapa perlu tanya ibu bapa dan siasat bagaimana mereka tahu pusat pemulihan sekian, ada tak hubungi JKM.

“Perlu dapat rekomendasi daripada JKM, jika di Selangor kita ada 30 pusat pemulihan berdaftar, menggunakan modul pemulihan dari JKM dan dipantau rapi.

“Tiada isu penderaan di Rumah Puteri Arafiah (RPA), jika pelatih ada buat kesalahan dia akan dibicarakan dan ruang bela diri terlebih dahulu, hukuman diberi sewajarnya tetapi tidak melampaui had kemanusiaan.

“Saya sendiri selalu nasihatkan warden RPA agar tidak ‘jentik’ anak-anak saya, malah ada beberapa penjaga rumah yang gagal menjaga emosi mereka terpaksa ditamatkan perkhidmatan. Rpa pulihkan dengan kasih sayang,” katanya kepada MEDIA VARIASI bagi mengulas isu penderaan sebuah pusat pemulihan yang dilaporkan sebelum ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Forum : Anak Tidak Sah Taraf dan Pembuangan Bayi di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam.

Forum ini dianjurkan oleh pelajar kumpulan 6- Diamond are forever dari Kohort 3 Akademi Kepimpinan Wanita di bawah WBS ( Wanita Berdaya Selangor ) anak syarikat MBI.

Turut hadir, Aktivis Hak Asasi Manusia merangkap bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Maria Chin Abdullah.

Barisan panel yang hadir adalah peguam syarie dari firma guaman Aniza Ammar & Associates, Lokman Hakim; Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat JKM Selangor, Siti Hajar Yahya;  Pengasas Buku Jalanan Chow Kit dan aktivis pendidikan kanak kanak, Rahayu Baharin.

Masdiana turut memaklumkan, sejak beliau mengambil alih pengurusan RPA di bawah kendalian PEKAWANIS, banyak aduan mengenai kes rumah pemulihan jual bayi di tempat lain didengari sehingga ia ditutup.

“Kalau berlaku kes begitu (isu dera, jual bayi dan lain-lain), terus lapor kepada JKM, JKM akan terus tutup. Sebab saya memang ada dengar aduan itu (jual bayi), dan bila lapor JKM, ia ditutup.

“Ibu bapa perlu beri sokongan moral kepada anak-anak mereka, lapor jika ada salah laku agar tindakan boleh diambil,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai RPA yang dihuni kira-kira 40 kanak-kanak dan remaja berusia lingkungan umur 12 hingga 20 tahun, Masdiana berkata, rumah pemulihan berkenaan mendapat pengiktirafan Anugerah Rumah Pemulihan Riqab Terbaik Selangor.

Menurutnya lagi, pelbagai program pemulihan dan pemantapan rohani, ilmiah dan bidang kemahiran dilakukan kepada golongan remaja wanita yang tersasar dari pangkal jalan.

Menariknya, RPA yang berdaftar dengan JKM dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu tidak mempunyai bilik kurungan seperti pusat pemulihan tidak berdaftar di luar sana, selain surat aku janji yang sah oleh JKM untuk berdaftar di pusat berkenaan.

“RPA turut mewujudkan program keluarga ‘parenting programme‘ iaitu ibu bapa boleh menginap di sana dan meluang masa bersama pelatih (penghuni) tiga kali setahun, walaupun mereka tidak dibenarkan keluar dalam tempoh dua tahun.

“Kesan daripada program itu, bukan sahaja pelatih dapat pulih dengan baik, malah ada yang ibu bapa tak pernah peluk cium anak, kali pertama dapat melakukannya di sana,” katanya yang juga mengingatkan kepada penjaga pusat supaya tidak sesekali ‘menyentuh’ (dera) pelatih kerana sudah menganggap sebagai anak sendiri.

Author

Pilihan Editor