HomeBeritaSoalan Sejarah SPM: Polis tahan dua pelajar keluar kata-kata kesat

Soalan Sejarah SPM: Polis tahan dua pelajar keluar kata-kata kesat

HULU SELANGOR: Dua remaja lelaki telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan mengenai video yang tular,  melibatkan pelajar sekolah menengah yang tidak berpuas hati terhadap kertas soalan Sejarah semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dua remaja yang berusia 18 tahun telah ditahan setelah pihak polis menerima laporan daripada seorang guru wanita.

“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melakukan serbuan di sebuah rumah di sekitar Hulu Selangor dan menahan kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam video tersebut,” katanya lapor Sinar Harian pada Sabtu.

Pihak polis turut menyita telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” lapornya.

Khamis lalu, sebuah video telah tular yang memaparkan seorang pelajar mengeluarkan kata-kata kasar setelah dikatakan tidak berpuas hati dengan soalan dalam subjek Sejarah SPM.

Author

Pilihan Editor