HomeBeritaMahkamah & JenayahTikam pesakit di Hospital Selayang, lelaki diarah jalani psikiatri

Tikam pesakit di Hospital Selayang, lelaki diarah jalani psikiatri

CYBERJAYA: Mahkamah Sesyen Selayang hari ini mengarahkan seorang lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di Hospital Selayang dua minggu lalu, untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin memerintahkan pemeriksaan itu dijalankan susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd. Khairul Kamul, 22, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri.

“Pihak pendakwaan membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dihantar untuk pemeriksaan psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh adalah tidak stabil.

“Sebelum ini tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Selayang sejak 15 Februari 2023,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Selasa.

Dalam prosiding, tertuduh hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan.
Bagaimanapun, Mohd. Khairul tidak menyatakan sebarang pengakuan sebaliknya hanya mengatakan dia berhalusinasi ketika kejadian.

“Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak dan pada sama tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Tarikh 29 Mac ini ditetapkan bagi sebutan semula kes dan laporan psiakitri tertuduh.

Untuk rekod, Mohd. Khairul didakwa telah sengaja mendatangkan cedera parah terhadap V. Satish Rao, 29, di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang di sini pukul 3.45 petang pada 14 Februari lalu.

Tikaman tertuduh itu mengakibatkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan.

Namun, dilaporkan keadaan mangsa kini semakin stabil.

Author

Pilihan Editor