HomeBeritaAkibat disaman, bantuan MAIWP kepada Ittifaqiyah ditangguh sejak 2018

Akibat disaman, bantuan MAIWP kepada Ittifaqiyah ditangguh sejak 2018

KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun berlalu sejak lebih 20 pelajar dan tenaga pengajar maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, suasana di premis itu masih sama dan menjalankan amanah diberi untuk menjaga anak-anak asnaf.

Perubahan boleh dilihat daripada struktur bangunan yang didaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) lebih kukuh dengan faktor keselamatan diutamakan.

Bagaimanapun premis itu masih belum menerima peruntukan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan asnaf.

Pengetua tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood berkata, MAIWP menangguhkan bayaran bantuan kerana agensi itu dan beliau disaman oleh ibu bapa yang kehilangan anak dalam kejadian.

“Sejak kejadian itu, pada tahun 2018 akaun bank di mana wang sumbangan orang ramai untuk pusat ini dibekukan sehingga ke hari ini.

“Dan sejak 2018, bantuan MAIWP ditangguhkan, saya ada buat rayuan dan berjumpa sendiri pihak berkenaan tetapi tiada maklum balas.

“Bagaimanapun, rezeki Allah luas, kami masih mampu bertahan sehingga ke hari ini, masih ada sudi membantu.

“Anak-anak yang ditempatkan di sini berusia seawal 10 tahun adalah golongan asnaf, ada juga anak tak sah taraf, anak yatim dan anak yang di mana kedua ibu bapa sudah bercerai serta tidak mampu menjaga mereka,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas mewakili penghuni Ittifaqiyah menerima 100 pek makanan oleh mantan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Agihan pek makanan itu adalah sebahagian daripada Program Kongsi Rezeki Ramadan di mana sebanyak 3,000 pek makanan berbuka puasa telah dan akan diagihkan kepada golongan asnaf khususnya pelajar di institusi pengajian tinggi dan anak yatim.

Pengagihan pek berbuka puasa itu telah bermula pada 1 Ramadan melibatkan 200 pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) kampus Bangi, Selangor.

Menu yang disajikan adalah berkhasiat dan berkualiti bagi memastikan golongan asnaf
benar-benar dapat menikmati juadah yang enak ketika berbuka puasa.

Dalam pada itu, Mohd Zahid ketika ditanya penerimaan masyarakat selepas kejadian itu katanya ia masih sama dan semakin menggalakkan.

“Sebanyak 200 permohonan kami terima setiap tahun tetapi saya hadkan kuota 50 penghuni sahaja agar kualiti keselamatan dan keselesaan anak-anak terjamin.

“Masyarakat faham apa yang berlaku dan masih menyokong usaha kami dalam menghidupkan generasi al-Quran dalam jiwa anak muda, apatah lagi golongan ini adalah mereka yang memerlukan,” katanya.

Author

Pilihan Editor