CYBERJAYA: Hampir 24,000 orang menjadi mangsa banjir di Johor, kata Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini.
Menurutnya, banjir yang berlaku kali ini disifatkan amat kritikal buat penduduk di negeri terbabit.
Katanya lagi, semua pihak daripada kerajaan Persekutuan dan negeri telah berganding bahu bagi memastikan rakyat menerima bantuan secepat mungkin.
“Sama-samalah kita semua berdoa agar dipermudahkan segala urusan mangsa-mangsa banjir dan petugas-petugas diseluruh negeri Johor.
“Selepas menggerakkan peralatan khemah dan bantuan makanan tambahan melalui mesyuarat tergempar di Bilik Gerakan Bencana Johor, saya turun ke daerah segamat untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.
“Syukur, Alhamdulillah perancangan dari segi logistik berjalan dengan lancar biar ada penambahan yang diperlukan pada saat-saat akhir,” tulisnya di Facebook hari ini.
Beliau turut berharap segala bantuan yang disampaikan melalui Yayasan Sultan Ibrahim, JMF seperti bantuan makanan dan pemeriksaan kesihatan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta peruntukan dari Kerajaan Negeri sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada mangsa-mangsa yang sedang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Menjunjung Kasih DYAM Tunku Mahkota Johor yang sangat prihatin terhadap mangsa banjir dan petugas.
“Terima kasih juga kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana sudi menumpangkan saya dan pegawai agensi-agensi berkaitan dengan jentera mereka untuk menyeberangi jalan-jalan utama di Segamat yang ditenggelami banjir,” titipnya.
Untuk rekod, hujan lebat yang melanda negeri Johor sejak Rabu malam nyata membuatkan banyak kawasan di negeri terbabit mula dinaiki air.
Antara lokasi yang terkesan teruk adalah di Segamat, Kluang dan Pontian.