HomeBeritaMahkamah & JenayahBekas calon PAS mengajar agama tanpa tauliah dipenjara

Bekas calon PAS mengajar agama tanpa tauliah dipenjara

KUALA PILAH: Meskipun sudah membuat pengakuan taubat secara rasmi melalui Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tetapi tetap tidak serik meneruskan ajaran songsang.

Tindakan bekas pensyarah wanita yang juga bekas calon PAS DUN Inderapura PRU14 itu akhirnya membawa dia ke sebalik tirai besi.

Mahkamah Rendah Syariah, di sini, mengenakan hukuman 12 bulan penjara terhadap pengasas ajaran ‘Asmaul Husna’, Wan Maseri Wan Mohd, 59, atas pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah.

Hakim Mohd Sabaruddin Bidin turut mengarahkan hukuman denda RM3,000 dan hukuman penjara tambahan enam bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda itu.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan di hadapan hakim.

Dia didakwa mengikut Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Terdahulu, media melaporkan Wan Maseri dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada masyarakat Islam.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ruzita Ramli selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan antara lainnya dirinya merupakan ‘Jurutaip Allah’ dan roh manusia adalah daripada ‘Zat Allah’ dan segala tindakannya berdasarkan arahan terus Allah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9.45 pagi, 27 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Nuri Balai Panjang, Johol, Kuala Pilah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Rohaizad Redzuan ketika itu mewakili tertuduh.

Author

Pilihan Editor