KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan program Jana Wibawa.
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili lelaki itu berkata perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan adalah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu menerima rasuah,” kata peguam itu.
Menurut Fahmi, anak guamnya menyerah diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 2.30 petang, sebelum ditahan pada 3 petang, semalam.
‘Datuk Roy’, 54, yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren tiba di mahkamah kira-kira 10.30 pagi diiringi beberapa pegawai SPRM.
Menurut SPRM dalam kenyataan semalam, pihaknya sedang mengesan ‘Datuk Roy’ yang mempunyai alamat terakhir di Kuantan, Pahang.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Putrajaya, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an direman tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mac bagi membantu siasatan membabitkan kes sama.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai ditahan kira-kira 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009. – BERNAMA