CYBERJAYA: Pasti ramai yang menyifatkan kesihatan gigi yang baik adalah dengan memiliki gigi putih dan bersih.
Namun, perkara itu bukanlah suatu hal yang mudah untuk dikekalkan dan sewajarnya dititikberatkan cara penjagaan gigi sejak kecil lagi.
Sikap sambil lewa mengenai penjagaan gigi pastinya memberi impak seperti tercetusnya sakit gigi yang berpanjangan serta gigi berlubang.
Kajian mendapati kanak-kanak yang giginya berlubang seawal usia tiga tahun berkemungkinan tiga kali ganda untuk mengalami masalah sama apabila dewasa.
Kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS) melaporkan, terdapat 71.3 peratus kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang.
Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) yang juga merupakan pakar pergigian kanak-kanak, Dr. Yogeswari Sivapragasam berkata, penjagaan gigi harus bermula dari awal.
Katanya, ramai terlepas pandang penjagaan mulut bayi kerana golongan berkenaan hanya tumbuh gigi selepas beberapa bulan lahir.
“Namun begitu, gusi bayi masih perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari.
“Rutin ini membantu menetapkan asas kepada amalan penjagaan harian dan kesihatan mulut kanak-kanak seumur hidupnya,” maklumnya seperti dilapor Kosmo.
Susulan itu, beliau berharap ibu bapa perlu mendapatkan nasihat daripada pengamal kesihatan mengenai cara menjaga kesihatan mulut sejurus kelahiran bayi termasuk apabila gigi pertama anak tumbuh.
Dr. Yogeswari menjelaskan, apabila gigi bayi tumbuh, ia adalah satu kebiasaan dan mereka perlu diperkenalkan kepada makanan baharu mengikut perkembangan diet dan keperluan nutrisi.
Namun begitu, penting untuk memperkenalkan makanan baharu secara beransur-ansur dan berhati-hati.
“Saya menasihati ibu bapa untuk menunda pemberian garam dan gula dalam diet anak-anak supaya mereka tidak mula menyukai rasa tambahan ini pada usia muda.
“Pengambilan berterusan makanan manis boleh membawa risiko tinggi masalah pergigian, selain penyakit kronik seperti obesiti dan kencing manis,” jelasnya.
Selain itu, ada masanya kanak-kanak tidak mahu makan sesetengah makanan atau enggan menggosok gigi.
Meskipun sikap sedemikian dapat dijelaskan dengan mudah sebagai kanak-kanak yang memilih dan cerewet, namun kemungkinan ada faktor lain.
“Kanak-kanak yang giginya berlubang atau sakit gusi mungkin mengalami ketidakselesaan dan kesakitan kronik sehingga menyebabkan mereka tidak mahu makan kerana perlu mengunyah.
“Tanpa sengaja mereka akan mengelak daripada makan makanan dalam bentuk sebiji atau seketul seperti buah epal atau ayam,” jelas Dr. Yogeswari.