HomeBeritaMahkamah & JenayahIbu kandung, ayah tiri sanggup eksploitasi seks anak perempuan OKU

Ibu kandung, ayah tiri sanggup eksploitasi seks anak perempuan OKU

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterwoth hari ini atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan mereka yang juga orang kelainan upaya (OKU) bagi tujuan eksploitasi seks pada Januari dan Februari  lalu.

Tertuduh yang merupakan ibu kandung mangsa, 40 tahun, bersama suaminya iaitu bapa tiri mangsa, 63 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah memperdagangkan anak gadis mereka berusia 20 tahun lapan bulan bagi maksud eksploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah pangsa di Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara jam 6 petang hingga 10 malam pada Januari hingga 14 Februari lepas.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup, atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Meskipun tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh, hakim masih membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 seorang dengan masing-masing seorang penjamin.

Pada masa sama, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan iaitu pada awal bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Author

Pilihan Editor