KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2.04 juta batang rokok putih susulan penahanan sebuah lori di Kilometer (km) 220.5 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) berhampiran Gambang di sini, Isnin lepas.
Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, dalam kejadian pada 9 pagi itu, pemandu lori bagaimanapun berjaya meloloskan diri dan meninggalkan kenderaannya di bahu jalan setelah menyedari dirinya diekori pihak penguat kuasa dalam .
Lori jenis ‘bonded’ itu dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur menghala ke Pantai Barat.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori menemukan sebanyak 102,000 karton rokok dengan jumlah keseluruhan 2.04 juta batang rokok yang dipercayai untuk diedarkan di Pantai Barat.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM163,200 dengan anggaran jumlah cukai bernilai RM1.36 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya merampas semua rokok tersebut dan menyita lori yang dianggarkan bernilai RM55,000 untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967. – BERNAMA