CYBERJAYA: Dek kerana keadaan dapur terlalu kotor dan mempunyai najis tikus, dua restoran hotel di Melaka diarah tutup serta-merta.
Perkara itu susulan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menjalankan pemeriksaan terhadap 44 restoran hotel di negeri tersebut.
Pengarah JKN Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pemeriksaan yang dijalankan selama dua hari bermula Rabu hingga Khamis mendapati dua daripada 44 restoran hotel itu diarahkan tutup sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.
Katanya, arahan itu dikeluarkan setelah JKN Melaka melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan dan kebersihan premis di bawah Akta Makanan 1983, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).
“Kami juga melaksanakan pemeriksaan kebersihan persekitaran premis dengan lapan hotel dikenal pasti ada tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.
Jelasnya lagi, sebanyak 17 kompaun kesalahan turut dikeluarkan dengan nilai RM4,250 atas kesalahan kerana tidak memasang papan tanda larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Maklumnya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my
“JKN Melaka sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna,” ujarnya.