HomeBeritaLarangan ahli politik ceramah di masjid, surau bantu redakan suhu politik -...

Larangan ahli politik ceramah di masjid, surau bantu redakan suhu politik – Fahmi 

 

JOHOR BAHRU: Tindakan beberapa negeri menguatkuasakan larangan kepada mana-mana ahli politik untuk mengadakan ceramah atau kuliah di masjid dan surau dilihat mampu membantu meredakan suhu politik negara.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu juga adalah peringatan kepada semua bahawa premis agama bukanlah satu platform yang boleh digunakan untuk kepentingan politik mana-mana individu mahupun parti.

Beliau berkata, ia juga dilihat sebagai satu usaha untuk meredakan gejala ekstremis politik yang semakin meluas di negara ini sehingga berpotensi menimbulkan persepsi ketidakstabilan kerajaan sekali gus mengurangkan kepercayaan pelabur.

“Arahan larangan yang dikenakan kepada ahli politik khususnya di kawasan masjid itu adalah satu usaha yang saya lihat dapat bantu redakan (suhu politik) dan KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital) juga akan mainkan peranan untuk tingkatkan kesedaran peri pentingnya hormat undang-undang ini.

Sebab kita ke masjid untuk beribadat bukan berpolitik, jadi politik tu biarlah di luar dan jangan salah gunakan mana-mana pentas dan ruang yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi dialog awam bersama pengurusan dan agensi-agensi di bawah KKD di RTM Johor di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Media sebelum ini melaporkan negeri Terengganu dan Perak mengumumkan larangan kepada mana-mana individu yang mempunyai keterlibatan di dalam politik untuk menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau bagi menjaga kemuliaan institusi keagamaan daripada sebarang unsur politik.

Fahmi berkata, usaha meredakan suhu politik negara bersekali dengan membendung gejala ekstremis politik itu penting dalam memastikan kestabilan politik dan Kerajaan Persekutuan tidak diganggu.

“Kestabilan politik dan kerajaan persekutuan itu penting dalam menarik keyakinan pelabur luar, contohnya pelaburan oleh AWS (Amazon Web Services) itu ternoktah kerana keyakinan mereka kepada kestabilan negara kita.

“Kalau nak dikatakan kenapa tak tandatangan sebelum ini, kerana ketika itu (kerajaan terdahulu) tak stabil tapi Alhamdulillah kestabillan itulah yang didambakan bukan hanya pelabur tapi rakyat… jadi sama-sama kita bangunkan negeri dan negara ini,” katanya.-BERNAMA

Authors

Pilihan Editor