HomePendidikanNak lahirkan graduan berkualiti kena 'berfikiran New York, berjiwa Mekah' - Ahmad...

Nak lahirkan graduan berkualiti kena ‘berfikiran New York, berjiwa Mekah’ – Ahmad Zahid 

CYBERJAYA: ‘Kita mesti berfikiran New York tetapi berjiwa Mekah, bererti kita mahu kemajuan dalam masa yang sama kita mempertahankan agama.’

Itulah yang diungkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas isu berhubung formula terbaik melahirkan graduan berkualiti.

Katanya, aspek keseimbangan dan kesejahteraan fizikal dan rohani perlu diterapkan dalam silibus masa kini.

Tambah beliau, hasrat tersebut direalisasi dengan penyediaan sistem pendidikan pra-sekolah sehingga peringkat universiti di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Jelas Ahmad Zahid, di bawah KKDW terdapat institusi pendidikan pra-sekolah, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), institusi TVET, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM). Semua institusi itu diterapkan keseimbangan fizikal dan rohani dalam silibusnya.

“Kadang-kadang, orang lihat hanya nilai akademik. Kita buat transformasi kepada kerjaya pekerja kolar putih dan kolar biru.

“Dulu orang pandang rendah kepada pekerja kolar biru. Mereka mahu anak-anak menjadi ahli profesional.

“Sebenarnya dari segi pendapatan, pekerjaan kolar biru memberikan pulangan kerjaya yang cukup baik.” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut akui terdapat ketidakseimbangan antara kelayakan graduan dengan gaji yang diterima buat masa ini.

Maklumnya, di pihak KKDW, graduan yang dilahirkan disasarkan untuk mendapat pekerjaan pada kadar gaji sekurang-kurangnya RM2,000 iaitu sebagai penanda aras kementerian, meskipun hakikatnya graduan TVET mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik.

Justeru, pelbagai program dilaksanakan secara sinergi antara tujuh agensi di bawah KKDW, pelbagai jabatan dan kerjasama dengan pihak swasta supaya generasi baharu ini dapat memberi nilai tambah kepada industri TVET yang semakin bercambah.

Author

Pilihan Editor