HomeBeritaMahkamah & JenayahRogol bayi 11 bulan hingga maut, lelaki berdepan tali gantung

Rogol bayi 11 bulan hingga maut, lelaki berdepan tali gantung

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pengunting rambut atas kesalahan membunuh seorang bayi perempuan berusia 11 bulan, lima tahun lalu.

Rayuan tertuduh, Hazmi Majid, 41, ditolak oleh barisan hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah, kerana hakim perbicaraan tidak melakukan sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan.

“Kecederaan yang dilakukan ke atas bayi itu, dalam keadaan biasa adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian.

“Kami mendapati keputusan hakim (Mahkamah Tinggi) adalah selamat, berdasarkan keseluruhan bukti. Oleh itu, rayuan ini ditolak dan sabitan dikekalkan,” kata Hakim Hanipah seperti dilapor Harian Metro.

Pengekalan hukuman gantung itu susulan Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Hazmi bersalah atas keputusan tersebut pada 20 Ogos 2021.

Untuk rekod, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati.

Terdahulu, media melaporkan bayi terbabit meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh Hazmi.

Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya dan laporan Patologi mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala dan tengkoraknya.

Author

Pilihan Editor