HomeBeritaTV AlHijrah tolak penceramah tanpa Tauliah Mengajar

TV AlHijrah tolak penceramah tanpa Tauliah Mengajar

KUALA LUMPUR: Stesen penyiaran berkonsepkan Islamik, TV AlHijrah berpendirian untuk menolak penceramah yang tidak mempunyai Tauliah Mengajar untuk muncul dalam program penyampaian berunsurkan keagamaan di bawah kendaliannya.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berpendapat pihaknya melihat keperluan Tauliah Mengajar pada masa kini sangat wajar dan penting, bagi melahirkan masyarakat Islam dan generasi berkualiti, lebih-lebih lagi menerusi penyampaian berkait agama.

“Pada pandangan peribadi kita, pendirian kita sebenarnya pentauliahan penting, kerana sekarang ini kita kena menilai semula ilmu dan cabaran semasa.

“Ustaz atau agamawan juga kena tingkatkan ilmu, cara mereka menyampaikan. Pentauliahan sangat penting untuk mereka juga kekal relevan.

“Sebab apa yang mereka tahu lima tahun dulu, tak sama dengan sekarang. Rakyat, penduduk, anak muda sekarang cari ilmu tak sama macam dulu,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1444H TV AlHijrah bertemakan kempen Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan di Zebra Square, di sini, pada Khamis.

Pada program itu, pihak media dan selebriti turut diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bas dua tingkat TV AlHijrah dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Zebra Square berkenaan.

Bagaimanapun, Namanzee berkata, pihak stesen TV akan sentiasa merujuk perkara itu di peringkat Persekutuan, dengan berpaksikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain majlis agama islam negeri masing-masing.

“Kalau rakaman di Selangor, kita cari dan rujuk (pihak berkuasa agama negeri) di sana,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda PAS Pahang, Aireroshairi Roslan mendakwa dia tidak lagi dibenarkan muncul dalam rancangan terbitan TV AlHijrah, dipercayai atas arahan pihak atasan.

Aireroshairi sebelum itu diundang menjadi penceramah dalam segmen Assalamualaikum disiarkan stesen televisyen itu pada jam 7 pagi.

Dia mengesahkan, tauliah mengajar agama di Selangor yang dimiliki sebelum ini tidak diperbaharui.

Beberapa tahun lalu juga, satu senarai dengan 10 nama penceramah tular yang didakwa digam daripada muncul di stesen TV dan radio.

Sementara itu, mengulas mengenai program TV sepanjang Ramadan tahun ini, Namanzee sebanyak 17 rancangan baharu dan istimewa bergenre dokumentari, bual bicara, masakan, kerohanian, drama, televisyen, telefilem, hiburan Islamik dan filem akan disajikan kepada penonton.

Pada yang sama, katanya, TV AlHijrah turut melancarkan dua program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR), iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah dan AlHijrah On The Bus yang mendapat kerjasama dengan pihak MARA Liner Sdn Bhd, yang akan membawa 180 penumpang (penonton setia TV AlHijrah) ke destinasi terpilih.

Pilihan Editor