CYBERJAYA: Siapa sangka, dengan hanya menggunakan alat bantuan seperti bola ping pong, papan anjal dan payung terjun, seseorang itu berupaya membaca al-Quran dalam tempoh satu hari sahaja.
Itulah yang diaplikasikan oleh sebuah organisasi dikenali Kaedah Haraki dalam membantu umat Islam membaca al-Quran dengan lebih lancar.

Pengasas Kaedah Haraki, Zakaria Nasirudin berkata, teknik mahir membaca kitab suci al-Quran yang dikenali sebagai Kaedah Haraki mengaplikasi pergerakan tubuh badan atau Total Physical Response (TPR).
Inisiatif itu memudahkan pelajar memahami apa yang disampaikan oleh guru dan membantu pelajar mengenali dan membaca huruf hijaiyah yang bersambung dan pelbagai baris dalam masa yang singkat.
Malah, sempena sambutan Nuzul Quran baru-baru ini, pihaknya turut menganjurkan bengkel asas al-Quran Kaedah Haraki bersama pelajar orang asli di Sekolah Menengah Agama Rakyat Orang Asli Nurul Hidayah, Kg Kenang Baru, Sungai Siput (Utara), Perak.
Bengkel yang melibatkan 44 orang pelajar orang asli dan 7 orang guru itu ternyata mendapat sambutan baik.
“Pelajar sekolah ini dipilih kerana mereka akan menjadi pendakwah Orang Asli Islam di seluruh Perak.
“Menurut pelajar, sebelum mengikuti bengkel Kaedah Haraki ini mereka rasa sukar untuk belajar al-Quran. Mereka tidak kenal dan keliru huruf hijaiyah al-Quran terutama ketika bersambung dan pelbagai baris.
“Mereka hanya mampu menghafal beberapa surah al-Quran dan bacaan solat yang ditulis dalam tulisan rumi. Walaupun mereka sudah berada di Tingkatan 4 dan 5 namun mereka belum mahir membaca al-Quran dengan betul dan bertajwid,” maklum Zakaria dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, bengkel asas berkenaan turut menarik minat para pelajar untuk dekatkan diri dengan al-Quran kerana dengan adanya inovasi Kaedah Haraki yang unik dalam pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran.
“Setelah mengikuti kelas al-Quran Kaedah Haraki mereka rasa seronok dan mereka belajar dengan ceria dan tidak jemu kerana mereka diajar melalui pergerakan tubuh badan, tarian, nyanyian dan bercerita. Ini merupakan inovasi baharu yang unik dalam pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran,” ujarnya.
Untuk rekod, Kaedah Haraki yang dibangunkan Zakaria turut mendapat anugerah emas dalam pelbagai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 2013, 2015 2016 dan 2022.