CYBERJAYA: Pelakon, Remy Ishak yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi, meluahkan kebimbangan dalam mendidik anaknya kelak.
Remy atau nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 41, berkata, keterbukaan serta peredaran dunia teknologi yang semakin pesat membuatkan dia bimbang jika ada kegagalan dalam mendidik anak-anaknya.
“Zaman sekarang sudah berbeza dan pastinya, tahun akan berganti tahun. Itu antara yang merisaukan saya. Bagaimana mendidik seorang anak dalam dunia modenisasi ini.
“Itu adalah satu tanggungjawab dan memang mencabar sebab takut tersilap didik. Tetapi saya mohon doa yang baik-baik daripada kalian untuk anak dan isteri saya,” ujarnya seperti dilapor Utusan.
Pada masa sama, pelakon filem Harum Malam itu turut bersyukur kerana isteri dan kandungan anak yang kini berusia enam bulan dalam keadaan sihat.
“Alhamdulillah, isteri berada dalam keadaan baik. Tidak pula dia mengalami alahan cuma kadang-kadang, sensitif sedikit.
“Soal jantina, saya tidak kisah. Asalkan lahir dalam keadaan sihat, apa yang Tuhan beri saya syukuri,” ungkapnya.
Untuk rekod, Remy mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Ezza Yusof pada 20 Ogos 2021.