HomeBeritaDah tujuh tahun ibu hilang, anak setia menanti kepulangan

Dah tujuh tahun ibu hilang, anak setia menanti kepulangan

CYBERJAYA: Kasih seorang anak terhadap ibunya yang hilang tujuh tahun lalu kekal setia dan masih menanti kepulangan bonda tercinta itu.

Halimatul Sa’Diah Zainuddin, 66, berkata, ibunya hilang tujuh tahun lalu iaitu pada puasa kelima tahun 2016.

HALIMATUL Sa’Diah Zainuddin tidak dapat menahan sebak ketika mengenang emaknya yang hilang tanpa jejak pada tahun 2016 ketika ditemui di Langkap dekat Pasir Salak.
Foto: Utusan
SAPIAH Mat Dauh, wanita yang gagal dikesan hingga kini setelah dilaporkan hilang pada Ramadan 2016 di Langkap dekat Pasir Salak. – UTUSAN

Katanya, ibunya, Sapiah Mat Dauh, berumur 87 ketika itu, hilang selepas keluar dari rumahnya untuk ke rumah anaknya yang lain di Kampung Permatang Jambu, Degong Langkap, Pasir Salak.

Kehilangan tanpa khabar berita emaknya tetap dirasai apatah lagi kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan 2016.

“Sebelum bulan Ramadan lagi, emak sudah berada di rumah saya. Pada puasa hari yang kelima, emak beritahu dia nak keluar rumah untuk ke rumah anaknya yang lain tidak jauh dari rumah saya, katanya dia hendak mengambil kain dan suruh saya jahit untuk sambut raya pada tahun itu.

“Sejak itu emak tak pulang, kami tunggu hingga ke malam, emak tak balik-balik. Saya ke rumah adik bertanyakan mengenai emak, tapi adik saya kata emak tidak datang ke rumahnya pada hari tersebut.

“Kami semua berusaha mencari emak namun tidak berjaya, malah semua agensi dan pasukan mencari dan menyelamat yang mencari emak, gagal menemukan sebarang petunjuk. Sejak hari itu, emak tidak pernah pulang,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, ada beberapa individu menghubunginya dan memberitahu ada ternampak emaknya di kebun kelapa sawit menghala ke Langkap.

“Namun kami semua hampa kerana masih tidak menemukan emak,” katanya.

Menjelang Aidilfitri, dia tetap terkenangkan emaknya itu sambil berharap kepulangannya suatu hari nanti.

Jelasnya, sehingga kini usaha mencari ibunya itu masih diteruskan.

“Kami semua ahli keluarga tetap mencari dan menunggu kepulangan emak, kami yakin emak masih ada, jika mati mana mayatnya? Setiap tahun apabila tiba bulan puasa, kami pasti teringat emak. Kami berdoa semoga emak ditemukan. Kami tidak putus berharap agak emak balik pada raya tahun ini, kami semua rindukan emak.

“Sejak kehilangan emak, setiap kali raya kami tidak lagi rasa seronok seperti semasa ada emak. Jika emak masih hidup semoga dibukakan hatinya untuk pulang bersama kami,” ungkapnya.

Author

Pilihan Editor