HomeBeritaDua penyokong Perak maut lepas tengok bola

Dua penyokong Perak maut lepas tengok bola

IPOH: Dua penyokong bola sepak Perak maut dalam nahas tiga motosikal berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan arah utara (Bercham-Jelapang), awal pagi Rabu.

Mangsa, Muhammad Faiz Bazli Abdul Hamid, 25, dan Izzwan Syamel Denial Ismail, 18, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar jam 1 pagi.

Insiden berkenaan dipercayai berlaku semasa kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Chemor dan Bercham selepas menyaksikan perlawanan antara Perak dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kemalangan itu turut membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun cedera di bahu dan luka di kaki serta tangan.

Maklumnya, siasatan awal mendapati, kejadian tercetus selepas motosikal jenis Yamaha yang ditunggangi kedua-dua mangsa bergesel lalu terbabas.

“Kejadian mengakibatkan motosikal ditunggangi seorang pelajar dari arah sama tidak sempat mengelak dan hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menzahirkan ucapan takziah atas kemalangan meragut nyawa melibatkan penyokong pasukan itu.

Katanya, Perak FC amat menghargai sokongan peminat The Bos Gaurus yang hadir setiap minggu menyaksikan perlawanan.

“Saya mewakili pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor