PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mengambil tindakan melalui media dan hubungan diplomatik dalam menangani tuntutan kumpulan Sulu, menerusi penubuhan satu Sekretariat Khas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, ini kerana kumpulan yang membuat tuntutan itu telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak benar, memutar belit tafsiran sejarah dan memburukkan imej negara.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU), Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah mengambil tindakan untuk melancarkan laman sesawang rasmi Malaysia iaitu malaysia-sulucase.gov.my.
“Laman sesawang ini memberikan fakta yang betul dan sahih, di samping menangkis tohmahan kumpulan berkenaan, dan ia juga bagi membolehkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan kes ini secara telus dan benar,” katanya semasa melancarkan laman sesawang berkenaan di Perdana Putra di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Azalina berkata, laman sesawang itu akan sentiasa diperkemas dan ditambah maklumat, dokumen dan pelbagai lagi dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes tuntutan berkenaan.
“Ia boleh diakses dalam lima bahasa secara berperingkat iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Tagalog bagi membolehkan pelbagai pihak dan media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui kebenaran yang dikemukakan oleh kerajaan.
“Saya berharap warga media dan rakyat Malaysia khususnya akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan teliti mengikut laman sesawang rasmi Malaysia, kerana pelaporan dan sebaran maklumat yang tidak benar atau tidak tepat, akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, KKD memainkan peranan berkait aspek perancangan komunikasi dalam pembangunan laman sesawang itu dengan menggunakan sumber yang ada di kementerian.
“Kita bantu dalam penilaian, terutama dari segi pelan komunikasi, di samping dari segi sokongan kepada agensi utama (di bawah kementerian), yakni Bernama dan RTM, dan kita pastikan bantuan dalam naratif keseluruhan bagi strategi yang telah dipilih kerajaan (dalam perkara ini),“ katanya.
Sementara itu Zambry berkata, kementeriannya pula berperanan merancang dan melaksanakan langkah-langkah untuk berdepan dengan kes tuntutan berkenaan.
“Ini merupakan keputusan kabinet, untuk kita bekerjasama sebagai satu pasukan, jadi tanggungjawab kami adalah untuk membantu Azalina membuat rancangan dan pelaksanaannya. Kita ada (sokongan) bersamanya,” katanya.
Pada 21 Februari lepas, Azalina semasa dalam sesi persidangan Dewan Rakyat berkata ahli-ahli Sekretariat Khas berkenaan merangkumi Kementerian Luar, KKD, Majlis Keselamatan Negara, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Peguam Besar Sabah dan pakar-pakar perundangan tempatan, dengan Sekretariat dipengerusikan beliau sendiri, manakala timbalan pengerusinya ialah Peguam Cara Negara II atau penggantinya. – BERNAMA