HomeBeritaKKM, JPA digesa bincang Mogok Doktor Kontrak - CEO KPMC

KKM, JPA digesa bincang Mogok Doktor Kontrak – CEO KPMC

KAJANG: Dua kementerian digesa untuk duduk semeja berbincang mengenai penyelesaian isu mogok doktor kontrak yang seolah-olah menjadi polemik bermusim, dan semakin kritikal.

Sebagai pemain industri, Ketua Pegawai Eksekutif Kajang Plaza Medical Centre (KPMC), Datuk Saroni Judi berkata, dua kementerian berkenaan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, KKM dan JPA perlu berdepan isu ini kerana ia babitkan sekuriti (keterjaminan) dan kebajikan pekerja.

“Saya ingin berkongsi fakta, isu doktor kontrak bermula 2017 sehingga 2022, 3,400 doktor kontrak letak jawatan daripada 29,548 keseluruhan doktor kontrak atau 11.5 peratus.

“Lagi membimbangkan, daripada jumlah itu pada tahun 2022 sahaja 1,354 doktor kontrak letak jawatan dan kadar meningkat dari tahun ke tahun.

“Mengikut fakta kajian daripada 70,000 sampel doktor, 2,558 doktor kontrak mengalami stress, 3,475 keresahan dan 2,123 kemurungan, ini harus diberi perhatian.

“Berbalik kepada mogok doktor mogok, isu sebenarnya yang mereka mahu adalah sekuriti iaitu lantikan terus ke jawatan tetap tanpa syarat serta lain-lain tuntutan dan inilah perlu dibincangkan KKM dan JPA,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya di KPMC, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mogok doktor kontrak selama tiga hari di seluruh negara bermula hari ini, susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Saroni juga mendakwa, prinsip pegawai perubatan adalah fokus kepada pesakit, namun jika berlaku piket atau demonstrasi daripada mereka, bermakna isu berkenaan kritikal.

“Ini bermakna sistem perlu diperbetulkan,” katanya.

Menurut akaun Instagram ‘Mogok Doktor Malaysia’ setakat semalam, mereka merancang meneruskan mogok berkenaan dengan mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan tetapi tidak membabitkan perhimpunan.

Langkah itu adalah protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Kumpulan itu juga memberi amaran kira-kira 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM secara berperingkat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata Pengarah Kesihatan negeri dan hospital di seluruh negara diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga, sebagai persediaan sekiranya kumpulan doktor kontrak meneruskan rancangan mengadakan mogok.

Peringatan yang dikeluarkan KKM terhadap penjawat awam supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram adalah selaras Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011.

Surat itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.

Author

Pilihan Editor