KULAI: Seorang peniaga di bazar Ramadan berdepan detik cemas apabila diserang oleh lima orang lelaki ketika berniaga bersama rakannya di Jalan Merbau di Bandar Putra.
Bagaimanapun, kesemua suspek berkenaan ditahan polis dalam empat serbuan di sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra Kulai dan Jalan Persiaran Indahpura di sini, malam tadi.
Ketua Polis daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 18 hingga 47 tahun itu ditahan antara jam 1.30 tengah hari hingga 10.30 malam, susulan aduan lelaki warga tempatan berumur 41 tahun, tengah hari semalam.
Katanya, pengadu yang juga peniaga terbabit mendakwa didatangi suspek bersama tiga yang lain kira-kira jam 10.45 malam ketika berniaga di bazar, kelmarin.
“Mereka berbincang mengenai perniagaan mercun di tapak bazar itu sebelum seorang daripada suspek yang tidak dikenali menendang pengadu di dada hingga terjatuh.
“Pengadu kemudian diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu dan dipukul oleh beberapa inidvidu ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera di kepala, muka, tangan dan badan sebelum menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.
Katanya, mangsa turut kehilangan wang berjumlah RM5,405 yang dipercayai dirampas suspek dalam kejadian berkenaan.
“Polis menyelesaikan kes kurang 24 jam laporan polis dibuat. Sebatang kayu yang dijadikan senjata dan sehelai baju turut dirampas.
“Hasil siasatan awal, semua suspek mengaku terbabit dan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.
“Usaha mengesan rakan sejenayah yang masih bebas giat dijalankan dan semua suspek direman empat hari sehingga 9 April manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” maklumnya.