HomeBeritaViralMasa saya keluarkan dari ‘neraka dunia’, selera makan Bella bertambah - Saksi

Masa saya keluarkan dari ‘neraka dunia’, selera makan Bella bertambah – Saksi

CYBERJAYA: Baru-baru ini, salah seorang saksi bagi kes membabitkan remaja sindrom Down, Bella, berkongsi pengalamannya menjaga anak istimewa itu sewaktu di bilik saksi.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Zurianty Sudin, 39, yang merupakan saksi pertama kes Bella memaklumkan kepada umum bahawa Bella amat menggemari makanan yang disediakan kepadanya pada ketika itu.

Katanya, disebabkan Bella merupakan remaja sindrom Down, sukar untuk dia berasa kenyang namun akan berhenti makan apabila dia mula berasa penat.

“Masa saya keluarkan Bella dari ‘neraka dunia’ tu, sampai je hospital dia minta nurse di situ belikan nasi goreng dengan air sirap. Dia makan sampai habis, sebutir pun tak tinggal.

“Di mahkamah pun, kami sentiasa bawa bekalan makanan dan jajan untuk Bella. Sebab menunggu seharian, dalam bilik kecil aircond, mesti la lapaq je kan. Gambar ni masa Ramadan tahun lepas. Dia cakap dia puasa, tapi lapar nasi. Kena la mummy tahankan iman turun beli nasi,” tulisnya.

Kongsinya lagi, Bella merupakan seorang yang pembersih dan cermat sewaktu makan sehingga, tiada sebutir nasi keluar daripada bekas makanannya.

Dalam perkongsian itu, Zurianty turut berkata, adalah satu kerugian buat manusia jika gagal menyantuni anak syurga seperti Bella.

“Ada la time dia teringin specific food. Tapi bila kita kata beli lain kali. Sekarang, habiskan nasi ni dulu ye. Dia tidak pernah bantah dan makan dengan senang hati,” ujarnya.

Jelasnya, Bella tidak mempunyai memori indah bersama ibu bapanya dan lebih mengecewakan apabila ingatannya dipenuhi dengan detik hitam yang dilaluinya sebelum ini.

Dalam pada itu, Zurianty menyatakan pihaknya akan sedaya upaya membantu Bella keluar dari detik-detik hitam tersebut dan menyemai kasih sayang serta kebahagiaan di dunia.

Untuk rekod, Bella merupakan remaja sindrom Down yang menjadi mangsa penderaan di sebuah pusat kebajikan, Rumah Bonda yang turut membabitkan pengasasnya, Siti Bainun Ahd Razali.

Justeru, Siti Bainun diarah membela diri selepas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan luka teruk di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Keputusan berhubung kes Bella ini akan diketahui pada 3 Mei 2023.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor