KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam serbuan di kementerian itu pagi tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek telah menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.
Difahamkan terdapat individu lain yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu.
Di PUTRAJAYA, Sivakumar berkata, beliau dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM jika diperlukan susulan penahanan pegawainya.
“Saya maklum berkenaan penahanan pegawai dari pejabat saya. Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan pihak SPRM, saya tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung perkara ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berharap pihak media tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga siasatan agensi berkenaan selesai. – BERNAMA