HomeBeritaPerubatan boleh lumpuh, 3,000 doktor kontrak mahu letak jawatan

Perubatan boleh lumpuh, 3,000 doktor kontrak mahu letak jawatan

KUALA LUMPUR: Khidmat perubatan mungkin lumpuh jika 3,000 doktor kontrak di Kementerian Kesihatan dijangka meletak jawatan bulan ini selepas menerima keputusan temuduga jawatan tetap.

Jurucakap Mogok Doktor Malaysia memberitahu The New Sunday Times (NST), 87 peratus doktor kontrak tidak ditawarkan jawatan tetap.

Mereka akan kekal dalam kontrak dan dinafikan hak untuk mendapat banyak faedah termasuk pencen, tambahnya.

Jurucakap berkata, gaji mereka lebih rendah berbanding mereka yang berjawatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan meskipun menanggung beban yang sama.

“Doktor kontrak tidak layak untuk program sarjana. Tiada kriteria yang jelas dan telus untuk pemilihan jawatan tetap.

“Mereka juga tiada cuti belajar dan cuti tanpa gaji. Terdapat banyak faedah yang kita dinafikan,” kata jurucakap itu.

Sebelum ini, NST melaporkan Mogok Doktor Malaysia merancang mogok selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.

Ia memberi amaran kepada orang ramai tentang masa menunggu yang lebih lama di hospital dan klinik kerajaan pada tarikh berkenaan.

“Rakyat Malaysia, jangan melawat (pergi) mana-mana hospital besar atau klinik kesihatan (klinik kesihatan awam) daripada 3 hingga 5 April kerana lebih 8,000 doktor kontrak akan mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah.

Masa menunggu anda lebih lama berbanding biasa,” kata Mogok Doktor Malaysia dalam akaun Instagram.

Ia mendakwa terdapat pihak di jabatan hospital membekukan cuti tahunan dan hari cuti pada tarikh berkenaan untuk menghalang doktor kontrak daripada menyertai mogok itu.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, doktor berkenaan akan terus menyertainya walaupun diberi amaran.

Kumpulan itu menuntut penyerapan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap, kenaikan gaji pokok, kadar on-call lebih tinggi dan pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.

Ia juga menyeru pengurangan dalam on-call dan waktu bekerja untuk pegawai perubatan dan kekurangan pakar untuk ditangani.

“Menurut memorandum kami, kami mendapat gaji yang rendah selama lebih daripada 20 tahun, serendah RM9 sejam untuk ‘on-call’ yang mengerikan kami, dan kerajaan kita merancang untuk menghapuskan elaun kritikal kami sebanyak RM750 sebulan.

“Tolong melayan doktor kontrak seperti manusia sebelum menuntut kami berkerja.

“Kami mengorbankan nyawa ketika pandemik.

“Tetapi sekarang kami dilupakan oleh menteri kesihatan dan orang awam,” kata jurucakap itu.

Author

Pilihan Editor