HomeBeritaViralSaya tak boleh puaskan hati semua pihak - Khairul Aming 

Saya tak boleh puaskan hati semua pihak – Khairul Aming 

 

CYBERJAYA: Personaliti masakan, Khairul Aming tampil memberi penjelasan mengenai isu resepi masakannya yang dilabel ‘tidak sihat’ kerana menggunakan minyak masak berlebihan sehingga mendapat perhatian pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah.

Menurut Khairul Aming Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairulaming, dia akui sebagai seorang content creator masakan, dia turut bertanggungjawab untuk berkongsi realiti sebenar cara penyediaan masakan yang mungkin tidak disedari oleh rakyat Malaysia.

“Sebab kenapa saya tunjuk kena pakai berapa sudu gula, berapa banyak minyak semua tu sebab saya nak bagi realiti. Inilah cara sebenar makanan disediakan di luar sana.

“Kalau awak tak biasa masak, pergi kedai makan awak tak rasa bersalah sangat. Tapi bila saya tunjuk video masak orang kata ‘eh banyaknya minyak’, tapi sebenarnya sama macam dekat kedai makan. Cuma kita tak sedar sebab tak biasa masak benda tu,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai video resepi masakan, Khairul Aming berkata, ia terpulang kepada individu tersebut untuk mengolah resepi menjadi lebih sihat kerana dia sendiri tidak berupaya untuk memuaskan semua pihak.

“Kalau saya ubah resepi ia akan jadi kurang sedap dan apabila orang cuba dan tak sedap, dia maki saya balik. Jadi saya tidak boleh puaskan hati semua orang. Sebab dalam Malaysia like it or not, tak semua orang tengah nak diet, nak jaga badan.

“Kalau anda nak ubah resepi, nak tukar bahan lain ke, boleh tak ada masalah, boleh buat ikut selera masing-masing. Tapi yang penting apabila dah makan nanti, always jaga portion,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Dr Rafidah menegur Khairul Aming secara terbuka di Twitter gara-gara video penyediaan sajian sambal hijau yang menggunakan minyak berlebihan.

Kata Dr Rafidah, Khairul Aming perlu lebih peka tentang masalah kesihatan rakyat Malaysia yang semakin merundum.

Justeru, Khairulaming turut meminta orang ramai agar terus mengutamakan kesihatan dan tidak bergaduh tentang isu remeh di media sosial.

“Harap tak ada gaduh-gaduh dalam bulan Ramadan, jaga kesihatan, jangan lupa bersenam dan jaga portion,” tegasnya.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor