CYBERJAYA: Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), Negeri Sembilan memilih perisian simulasi robotik GoTechUp untuk program pembelajaran robotik secara maya pada 17 April baru-baru ini.
Program ini dilaksanakan setiap bulan sepanjang tahun dan melibatkan seramai 600 orang murid dari tahun 3 hingga 6.
Perisian tersebut mengetengahkan konsep pembelajaran kendiri yang membantu murid meningkatkan kemahiran dalam pengaturcaraan dan kemahiran pemikiran kritikal bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat tertinggi.
Menariknya, SKPD akan meneruskan kolaborasi pintar dengan syarikat Tech UP dan menggunakan produk dari syarikat tersebut dalam aktiviti Kelab Robotik yang baru ditubuhkan di sekolah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up, Ainaa Rosli, meluahkan keterujaannya selepas SKPD memilih perisian mereka untuk mencuba kaedah pembelajaran baharu.
“Kami gembira apabila mendapat maklumbalas positif bahawa perisian kami dapat memberi impak yang kami sasarkan, iaitu mengurangkan rasa takut murid dan pendidik terhadap STEM dan pendigitalan. Penggunaan GoTechUp di SKPD membuktikan bahawa pendidikan STEM adalah untuk sesiapa sahaja dan bukan hanya untuk murid elit seperti yang difikirkan ramai orang,” katanya.
Guru Besar SK Port Dickson, Zuraidah Ahmad berkata, mereka mula mengenali perisian GoTechUp pada tahun lepas ketika melibatkan diri bersama program yang dianjurkan oleh Tech Up.
“Bukan sahaja menjimatkan kos kerana pembelajaran boleh dilakukan secara maya tanpa robot fizikal, bahkan GoTechUp juga menjadikan pembelajaran sesuatu yang lebih menyeronokkan bagi murid-murid kita untuk dapatkan kemahiran baharu yang kritikal.
“Faktor ini memenuhi keperluan kami ketika kami cuba mempersiapkan generasi muda untuk dunia digitalisasi yang akan ditadbir mereka pada masa akan datang,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, Tech Up merupakan penyedia penyelesaian pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM). Lalu, berkembang menjadi pembangun perisian pendidikan gamifikasi dengan perisian robotik maya utamanya GoTechUP.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)