SEOUL: Korea Utara masih tidak menjawab panggilan rutin menerusi saluran komunikasi perhubungan dan hotline tentera dengan Korea Selatan buat hari keempat berturut-turut, menurut kerajaan (Korea) Selatan.
Menurut kementerian penyatuan Seoul, Korea Utara tidak menjawab panggilan rutin itu pada 9 pagi Isnin selepas tidak menjawab panggilan pada pagi Jumaat. Talian hotline itu tidak beroperasi pada hujung minggu.
Kedua-dua negara sepatutnya membuat panggilan telefon dua kali sehari iaitu pada pukul 9 pagi dan 5 petang.
Panggilan melalui talian hotline tentera juga tidak berjawab untuk hari keempat berturut-turut pada Isnin, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan, lapor Yonhap.
Belum diketahui mengapa Korea Utara tidak membalas panggilan itu.
Namun, ada kemungkinan bahawa rejim itu sengaja enggan menjawab panggilan sebagai bantahan terhadap latihan ketenteraan bersama antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat atau laporan terbaru kementerian mengenai hak asasi manusia Korea Utara.
Jun lepas, Pyongyang tidak menjawab panggilan itu disebabkan masalah teknikal akibat hujan lebat.
Pada Julai 2021, Korea Utara memulihkan talian penting antara Korea, kira-kira setahun selepas memutuskan saluran hubungan sebagai protes terhadap kempen risalah aktivis Seoul yang mengkritik Pyongyang.
Negara itu sekali lagi tidak menjawab panggilan di talian perhubungan pada Ogos tahun itu kerana memprotes latihan ketenteraan Seoul-Washington. – BERNAMA-YONHAP