HomeBeritaWarga emas OKU rentung dalam kebakaran rumah

Warga emas OKU rentung dalam kebakaran rumah

 

TUARAN: Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran rumah yang berlaku di Kampung Tagas, malam tadi.

Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) bernama Agus Ebah, 72 tahun ditemukan rentung selepas 26 minit api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihak bomba diberitahu mengenai kebakaran itu pada pukul 10.35 malam.

Susulan itu, sepasukan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tuaran ditugaskan ke kawasan kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar sepenuhnya.

“Terdapat seorang mangsa terlibat rentung, disahkan meninggal dunia pada jam 11.57 malam di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia,” maklum jurucakap bomba dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan sama turut melaporkan bahawa tindakan operasi pemadaman berjaya mengawal api sepenuhnya pada jam 11.31 malam.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 01.34 pagi,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor