HomeBeritaAnugerah 'Consumers' Choice Award' tarik keyakinan, pilihan pengguna - MTPN

Anugerah ‘Consumers’ Choice Award’ tarik keyakinan, pilihan pengguna – MTPN

SHAH ALAM: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menegaskan, pihaknya menolak sebarang bentuk jualan pengiktirafan atau anugerah kepada syarikat perniagaan bagi meraih kepercayaan pengguna semata-mata.

Timbalan Presiden MTPN Kebangsaan, Abdul Malik Jamaran berkata, Anugerah Pilihan Pengguna atau ‘Consumers’ Choice Award (CCA) MTPN adalah pengiktirafan yang mendapat kerjasama dengan pihak kerajaan dan kementerian berkaitan bagi mengangkat usaha usahawan ke peringkat lebih tinggi.

Tegasnya, kerjasama pelbagai pihak itu membabitkan proses penaksiran dan pengauditan dalaman secara telus, bagi setiap permohonan perniagaan yang benar-benar kukuh dan mampu kepercayaan pengguna.

“Kita di MTPN, kita tak jual anugerah. Contoh penerima kali ini (CCA) yang layak hanya 37 daripada 168 yang pencalonan.

“Dari segi logo CCA, logo ini adalah berdaftar, hanya milik MTPN, bukan suka-suka boleh pakai. Nilai tambah pada pengiktirafan itu adalah kerjasama dengan pihak kerajaan dan kementerian untuk mengangkat peniaga itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian diiringi Yang DiPertua MTPN Johor, Noorman Kamsani, kepada pemberita pada Majlis Anugerah Jenama Pensijilan Pengguna Malaysia MTPN, di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini.

Turut hadir, Presiden MTPN, Datuk Paduka Dr Kevy Kv Yeo dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang juga Penasihat Kehormat MTPN, Dr Nik Adi Sukiman Nik Ahmad Pauzi.

Pada majlis berkenaan, seramai 41 elit korporat dipilih menerima Anugerah CCA 2023 bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat manakala 22 elit lagi merangkul Anugerah Tokoh Pintar Terbaik (Best Intelligent Figure).

Abdul Malik berkata, beliau tidak menafikan majoriti penerima anugerah cenderung kepada satu kaum, namun tetap optimis bahawa MTPN terbuka kepada semua peringkat bangsa dan kaum.

“MTPN tidak meletakkan standard tertentu, malah kami terbuka kepada semua peringkat. Yang penting platform kami sangat efektif membantu dari sudut permasalahan pengguna,” katanya.

Sementara itu, berhubung statistik 300 aduan diterima MTPN pada 2022, oleh Kevy Kv dalam ucapannya pada majlis sama, Noorman menjelaskan sebahagiannya sudah diselesaikan manakala sebahagian lagi disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

“Tahun ini ada peningkatan aduan sebanyak 125 kes setakat hari ini. Kebanyakan aduan diterima membabitkan penipuan dalam industri kecantikan, kesihatan dan scammer.

“Ada prosedur yang kita perlu ikut ketika membantu menyelesaikan aduan, bukan ada aduan kita serang. Itu cara salah, sebaliknya selesai cara profesional.

“MTPN kena bersikap adil, kena jaga aib dan reputasi kedua-dua belah pihak,” katanya.

Untuk rekod, MTPN adalah sebuah NGO yang ditubuhkan pada 2016, berpangkalan di Johor Bahru, dengan 94 cawangan di seluruh negara, yang menekankan isu pengguna dan peniaga.

Dalam perkembangan sama, penerima Anugerah CCA 2023 MTPN, Roswalin Ab Wahab berkata, pengiktirafan yang dirangkul datang bersama tanggungjawab yang lebih besar untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan mereka kepada pengguna.

Roswalin dan suami, Mohd Izani Adzam masing-masing adalah Pengarah Syarikat Bersama Qap D Optic Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan kaca mata, ketika ini memfokuskan program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) bersama agensi kerajaan dan badan berkaitan kerajaan (GLC) untuk memberi pendedahan mengenai kesedaran kepentingan mata kepada orang awam.

“Justeru, anugerah ini bukan sahaja melambangkan keuntungan dan kepercayaan semata-mata tetapi bagaimana menjaga hak pengguna,” katanya yang kini mempunyai sembilan cawangan di Perak dan Pulau Pinang.

Author

Pilihan Editor