HomeBeritaBapa jadi miskin, terabai lepas serah harta pada anak

Bapa jadi miskin, terabai lepas serah harta pada anak

KUALA LUMPUR: Sebelum ini, Selangor dicadang mewujudkan enakmen yang memperuntukkan hukuman terhadap anak-anak yang mengabaikan ibu bapa berusia.

Perkara itu susulan ramai warga emas khususnya di Rawang berdepan kesukaran meneruskan kehidupan kerana diabai anak-anak termasuklah dalam kalangan golongan berkemampuan.

Undang-undang berkaitan pengabaian ibu bapa bukanlah perkara baharu, malah negara jiran, Singapura telah melaksanakan perkara tersebut.

Kali ini, seorang bapa yang mengalami angin ahmar, memfailkan tuntutan nafkah terhadap anak-anaknya selepas masing-masing didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagaimana seorang anak terhadap ayah.

Bapa tersebut dikenali Daut @ Kassim Jali, mempunyai status jutawan sebelum ini apabila memiliki tiga stesen minyak, ladang sawit, pusat ternakan ayam serta beberapa aset dan memiliki tujuh orang anak.

Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila sebaik sahaja dia mengagihkan seluruh harta kepada tujuh orang anaknya yang berusia 41 tahun sehingga 58 tahun, dia seolah-olah ‘terbiar’ begitu sahaja oleh mereka.

Daut mendakwa, kesemua anaknya bukan sahaja “lupa daratan” malah turut mengabaikan tanggungjawab terhadap dirinya sehingga terpaksa mengharapkan belas ihsan daripada anak-anak tiri serta isteri keduanya yang tinggal di Masjid Tanah.

“Saya kesal kerana anak-anak meminggirkan saya, nafkah sara hidup saya pun mereka tidak beri, bagaimana saya hendak menyara kehidupan saya sedangkan saya amat memerlukan kos untuk rawatan kesihatan saya,” katanya.

“Saya tidak mempersoalkan terhadap apa yang telah diberikan kepada anak-anak, cuma rasa kecewa, macam ini rupanya balasan kepada saya,” luahnya lagi.

Menurut Daut, sudah hampir dua tahun anak-anaknya tidak menziarahi dirinya bahkan ketika beliau ingin mengerjakan umrah.

Daut pernah memfailkan tuntutan nafkah terhadap anak-anaknya itu di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka dan berjaya memperolehi hak untuk menguruskan ladang ternakan ayam di atas dua lot tanah.

Walau bagaimanapun, anak-anaknya telah mengambil kedua-dua lot tanah tersebut dan juga perniagaan ayam menyebabkan beliau kini tiada lagi sumber kewangan.

“Justeru itu, beliau akan memfailkan tuntutan nafkah terhadap tiga orang anaknya yang berjumlah RM3,925 sebulan setiap seorang sehingga akhir hayatnya,” kata peguamnya.

Author

Pilihan Editor