GERIK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dikejarkan ke hospital selepas termakan biskut coklat mengandungi ganja milik bapanya, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.26 malam selepas dilapor oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Lawin.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dibawa sendiri oleh bapanya untuk pemeriksaan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening kepala dan loya.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah termakan biskut yang dicampur dengan ganja hingga menyebabkan mengalami sesak nafas, sakit kepala dan loya.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut. Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil,” katanya seperti dilapor Kosmo, hari ini.
Tambah beliau, susulan kejadian itu, polis menahan bapa kanak-kanak tersebut dan merampas biskut yang dihasilkannya untuk siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
“Suspek yang merupakan penoreh getah itu direman lima hari mulai hari ini sehingga Sabtu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Difahamkan, suspek memproses biskut tersebut untuk kegunaan sendiri dengan mencampurkan dadah miliknya sebelum disimpan di dalam bekas dan diletakkan di atas meja dapur.
Kanak-kanak itu dikatakan mengambil dan memakan biskut sebanyak empat keping sebelum mengalami sesak nafas, sakit kepala dan loya.