BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak tahu mengenai dakwaan terdapat individu daripada Kerajaan Perpaduan mengajak parti PAS untuk menyertai kerajaan itu.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada siapa pun yang ingin membuat tawaran berkenaan setakat dalam pengetahuannya.
“Di luar pengetahuan saya. Saya rasa eloklah mereka (PAS) berkawan terus dengan Bersatu, jangan perasan ada siapa nak tawarkan dia (masuk Kerajaan Perpaduan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan laporan media semalam berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa beberapa individu menghubungi beliau mengajak mengadakan pertemuan untuk menawarkan PAS supaya menyertai Kerajaan Perpaduan.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, ketika ini pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan perlu tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS. – BERNAMA