HomeBeritaDiserang 'mafia' Pakistan, ahli perniagaan Malaysia minta bantuan Wisma Putra

Diserang ‘mafia’ Pakistan, ahli perniagaan Malaysia minta bantuan Wisma Putra

CYBERJAYA: Seorang ahli perniagaan Malaysia menzahirkan kebimbangan apabila kediaman dia sekeluarga di Pakistan didakwa diserang sekumpulan mafia dengan peluru, baru-baru ini.

Rakyat Malaysia berasal dari Pakistan itu, Datuk Mohammad Tahir Rahat turut meminta bantuan Wisma Putra berhubung keselamatan keluarganya.

Mohammad Tahir mendakwa, serangan mafia itu dikatakan berpunca daripada tindakan kumpulan itu yang mahu merampas tanah miliknya yang diwarisi sejak turun temurun di daerah Hisari Nehri, Pakistan.

Dalam kejadian Ahad lalu, beliau mendakwa 200 mafia lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah menara peninjau rumahnya sekitar jam 7 pagi menyebabkan beliau juga terpaksa berbalas tembakan dengan mereka, lapor Berita Harian.

“Kejadian itu berlarutan sehingga jam 8.30 pagi sehingga pihak polis tiba. Namun, kedatangan mereka hanya menyuraikan tembak menembak bukan menghentikan kegiatan mafia berkenaan.

“Kumpulan mafia berkenaan sudah merampas tanah milik saya buat masa sekarang dan mereka juga membina tembok pengadang serta menara peninjau di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, mafia berkenaan turut bertindak menutup semua jalan keluar masuk ke rumahnya dari pukul 7 pagi hingga 7 petang.

Untuk rekod, Mohammad Tahir yang berasal dari Pakistan berhijrah ke Malaysia bagi memulakan kehidupan baharu pada sekitar akhir 1980-an dan berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Author

Pilihan Editor