SINGAPURA: Bilik enjin sebuah feri penumpang ‘QUEEN STAR 2’ yang dalam perjalanan dari Singapura ke Batam dilaporkan terbakar petang tadi, menurut Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
MPA memaklumkan bahawa kesemua 62 penumpang, termasuk warga Singapura, Malaysia dan Indonesia, antara lain Berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke kapal ‘MERBAU ERA’ yang dalam perjalanan ke Terminal Feri Harbourfront Singapura.
‘MERBAU ERA’ kemudiannya menuju ke Batam dan selamat tiba bersama 62 penumpang terbabit,menurut MPA dalam satu kenyataan hari ini.
MPA menerima laporan mengenai kejadian pada 12.30 tengah hari waktu tempatan di luar pesisir Pulau Kusu.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa MPA, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dan Pengawal Pantai Polis (PCG) segera mengerah asset mereka untuk memberi bantuan.
MPA turut mengerahkan bot tunda untuk menunda feri berkenaan.
Kebakaran berjaya dipadamkan enam anak kapal yang kekal berada di atas feri itu sebelum ketibaan SCDF.
Anggota bomba SCDF juga bertindak memastikan api telah dipadamkan sepenuhnya.
“Pada masa ini tiada sebarang kecederaan atau pencemaran dilaporkan. MPA telah menempatkan pegawai di Terminal Feri Harbourfront sekiranya mana-mana penumpang memerlukan sokongan,” katanya.
Di samping itu, MPA mengeluarkan siaran navigasi kepada kapal lain untuk menjauhi lokasi kejadian. – BERNAMA