KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengakui kecewa dengan keputusan diraih pada pusingan kedua Kejuaraan FIM JuniorGP European Talent Cup (ETC) yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, semalam.
Pelumba berusia 15 tahun itu bagaimanapun enggan menyerah kalah selain berazam untuk bangkit memperkemas lagi tunggangan dalam usaha melakar keputusan lebih baik pada pusingan seterusnya di Litar Jerez juga di Sepanyol pada 4 Jun ini.
Terdahulu pada perlumbaan tersebut pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan saingan di kedudukan ke-11 pada perlumbaan pertama dengan catatan 27 minit 41.008 saat (s) dan berada di kedudukan ke-13 pada perlumbaan kedua dengan catatan 27:39.728s.
“Perlumbaan kedua saya tidak mendapat permulaan yang baik, kumpulan hadapan mula ada jarak membuatkan saya sukar untuk kejar dan saya habiskan perlumbaan di P13,” katanya menerusi kenyataan dikongsikan kepada media hari ini.
Keputusan dicapai pelumba Monlau Motul itu menyaksikan beliau kini berada di kedudukan kesembilan dengan mengumpul sebanyak 24 mata secara keseluruhan.
Sementara itu, pelumba pasukan Aspar Junior, Maximo Quiles muncul juara diikuti pelumba ACR Racing, Guido Pini manakala Rico Salmela daripada Estrella Galicia meraih tempat ketiga.
Pada perlumbaan kedua, Maximo sekali lagi meraih juara diikuti Brian Uriarte (Estrella Galicia) di tempat kedua sementara pelumba Finetwork Mir Junior, Alberto Ferrandez di tempat ketiga. – BERNAMA