KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad terus memperjuangkan kepentingan sektor tenaga boleh baharu (TBB) negara dengan mengesyorkan beberapa sebab berdasarkan pelan definitif dan perkembangan progresif, secara komprehensif.
Pengalamannya menyandang jawatan kanan dalam kerajaan negeri Johor sebelum ini, melihat banyak negara berminat dengan kesediaan untuk membangunkan inisiatif TBB, dan pusat data.
Bagaimanapun, ia dihalang oleh kebimbangan kerajaan persekutuan terdahulu, tanpa memetik di bawah pentadbiran siapa, atas alasan lebihan pengeluaran tenaga untuk eksport yang dipercayai boleh menguntungkan Singapura.
Katanya, Malaysia memerlukan lonjakan besar dalam usaha untuk membangunkan TBB, oleh itu langkah serta sebarang pelan perlu mendapat penerimaan pemegang taruh, terutama rakyat dan sektor swasta.
Beliau mengesyorkan tiga sebab iaitu, pertama dengan membangunkan TBB bagi menyokong sasaran Malaysia menjadi negara neutral karbon dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050.
Kedua, katanya, subsidi tarif elektrik yang kian meningkat saban tahun dapat dijimatkan dengan penggunaan TBB secara meluas dalam kalangan masyarakat dan industri.
Ketiga pula katanya, pembangunan dan pembudayaan TBB melalui pelaburan oleh pihak swasta perlu digiatkan, justeru Malaysia memerlukan pelaburan sebanyak AS$375 bilion dalam pembangunan sektor TBB bagi mencapai sasaran kempen.
“Saya percaya, dalam mereformasi semula perbelanjaan fiskal negara, tenaga boleh baharu merupakan jawapan jangka masa panjang kita.
“Malaysia punya sasaran dan sekarang adalah masanya untuk mencapai sasaran yang kita sendiri tetapkan. It is now, or never,” demikian katanya.
Menjelaskan usaha membangunkan TBB, Hasni berkata, penghasilan karbon dioksida di Malaysia dianggarkan sebanyak 280 juta tan menjelang 2050, dan majoritinya ia disumbangkan oleh tenaga arang dan bahan bakar fosil.
“Buat waktu ini, bekalan tenaga elektrik dari sumber boleh baharu adalah pada kadar 25 peratus (%) dan kita masih lagi jauh dalam sasaran untuk mencapai sasaran 40% pada 2035.
“Saya berpendapat, kuasa Menteri menggantung kuatkuasa mana-mana atau peruntukan mengikut Akta 725 tidaklah bermaksud Menteri dengan bebas menggunakannya sehingga menimbulkan kesangsian pemegang taruh, terutama sekali pemain industri terhadap komitmen kita memperkasa TBB di Malaysia.
“Sebaliknya, kuasa yang diberikan wajar digunakan bagi menyokong usaha kerajaan memenuhi sasaran yang kita sendiri letakkan, samada mencapai negara neutral karbon 2050 atau pun meningkat bekalan tenaga elektrik dari sumber boleh baharu pada kadar 40% pada 2035,” katanya.
Jelas Hasni lagi, penggunaan TBB secara meluas dalam kalangan industri dan masyarakat juga dapat menjimatkan subsidi tarif elektrik, sebanyak RM4.16 bilion berbanding yang terkini diperuntukkan sebanyak RM14.91 bilion.
“Dalam konteks ini, jika keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan jumlah perbelanjaan melalui rasionalisasi subsidi, terutama sekali subsidi tarif elektrik, maka meningkatkan penggunaan TBB adalah the only way forward (satu-satunya cara) bagi Malaysia.
“Selain usaha untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada golongan B40 dan M40, TBB juga lebih murah dan lebih mesra alam selain menjadi antara instrumen untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan pada jangka masa panjang.
“Ini kerana, negara barat sudah mula menjadikan renewable energy (sumber tenaga boleh baharu) sebagai sumber tenaga utama untuk menggantikan pergantungan kepada bahan bakar fosil yang amat terdedah kepada perubahan geopolitik dan manipulasi harga pasaran komoditi global.
“Secara total, pada 2050, AS$12 trillion boleh dijimatkan pelbagai negara jika tenaga boleh baharu menjadi sumber tenaga utama menggantikan bahan bakar fosil.
“Elok juga jika Malaysia membuat anggaran, pada 2050, berapakah perbelanjaan subsidi yang dapat dikurangkan kerajaan apabila sumber renewable energy menjadi sumber bekalan tenaga utama negara.
“Kita boleh menilai pilihan mana yang lebih menguntungkan buat fiskal negara,” katanya.
Oleh itu, Hasni berkata, anggaran pelaburan diperlukan Malaysia dalam usaha itu, bukan sahaja satu jumlah yang besar tetapi komitmen serius dari pelabur tempatan mahupun antarabangsa.
Bagaimanapun, pendedahannya dengan mendakwa kurang menarik pelabur dan pelabur kurang berpihak kepada pelaburan dalam sektor TBB di Malaysia, menjadikan negara terkebelakang berbanding Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Ia berdasarkan laporan International Market Intelligence berkenaan senario sektor tenaga itu terhadap Malaysia selain tajuk ‘headline’ yang sering dimainkan media yang menjadi sentimen dipercayai pemain industri.
“Malaysia lacks ‘strong’ renewable energy policies” dan “There are no incentives offered to large-scale renewables” adalah antara headlines yang dimainkan media dan juga sentimen yang dipercayai pemain-pemain industri.
“Seperti contoh, Malaysia mengalami masalah dalam menarik projek TBB berskala besar akibat kekurangan “robust policies” dari pihak kerajaan.
“Jika ada pun insentif dan polisi, pemain industri berpendapat ia hanya berfokus di sebelah utara negara.
“Padahal keperluan untuk renewable energy banyak tertumpu di selatan tanah air terutama sekali Lembah Klang,” jelasnya