JIKA mahu merasai ketenangan alam, Ipoh iaitu sebuah bandar di Perak merupakan lokasi terbaik untuk dilawati.
Ipoh yang terletak di daerah Kinta sememangnya terkenal dengan fenomena alam semula jadi yang dikelilingi bukit-bukau, gua batu kapur dan tasik yang menenangkan.
Selain Tasik Cermin yang menjadi destinasi popular di Ipoh, terdapat satu lagi lokasi menarik untuk dikunjungi iaitu Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village.
Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village menawarkan pelbagai tarikan menarik buat pengunjung kerana disini, anda bakal melihat sebuah perkampungan yang dipenuhi seni, budaya dan sejarah ringkas di Malaysia.
Menariknya, destinasi ini dikelilingi landskap gunung dan hutan yang menakjubkan!
Dengan hanya membayar tiket bernilai RM12 (bagi dewasa), anda bakal menerokai rumah-rumah ‘orang lama’ dari pelbagai kaum di Malaysia. Terdapat rumah warisan etnik Cina, India dan Melayu yang menarik untuk anda lawati sambil berfoto kenangan.
Dalam setiap rumah, turut diperinci barangan lama yang digunakan ketika dahulu sebelum dunia berkembangan dengan teknologi moden.
Bagi anda yang lahir pada tahun 70-an ke 90-an, melihat rumah-rumah ini pasti membuatkan anda mengimbau kenangan sewaktu kecil.
Bagi kalian yang gemar berfoto atau sukakan barangan klasik, Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village sememangnya tempat terbaik untuk dilawati.
Selain daripada berfoto, anda juga boleh berbasikal di sekitar perkampungan sambil menikmati panorama yang indah.