HomeBeritaJanji dua beradik nak balik raya Aidiladha tak kesampaian

Janji dua beradik nak balik raya Aidiladha tak kesampaian

KUALA NERUS: Luluh hati seorang bapa apabila dua anak lelakinya maut dalam kemala­ngan di Kilometer 257.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan.

Harun Ismail, 68, berkata, sukar untuk dirinya menerima kenya­taan kehilangan dua anaknya, Mohd. Husaini Amir, 29, dan Muhammad Amirul Syafiq, 25.

“Kebetulan 7 Mei ini (hari ini) genap dua tahun arwah isteri iaitu ibu mereka meninggal dunia.

“Tidak sangka giliran (ajal) mereka pula semalam (kelmarin). Bagaikan bermimpi sebab baru malam sebelumnya (Khamis) kami berhubung secara panggilan video,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Menurutnya, jenazah Mohd. Husaini Amir dan Muhammad Amirul Syafiq selamat dikebumikan bersebelahan pusara ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tunggal di sini pada pukul 11 malam kelmarin.

Kata Harun, sewaktu panggilan video tersebut, kedua-dua anaknya itu kelihatan sangat ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Jelasnya, dalam panggilan ­video itu, kedua-dua arwah anaknya itu yang menetap di Seri Kembangan, Selangor memberitahu akan keluar awal pada keesokan paginya untuk bekerja di sebuah kilang di Senawang.

“Mereka amat rapat dan sentiasa berhubung menerusi panggilan video dengan keluarga di kampung terutama saya hampir setiap hari.

“Kali terakhir kami bertemu pada 1 Syawal lalu untuk beraya sebelum mereka pulang pada hari raya ketiga,” ujarnya.

Harun berkata, hatinya sayu mengenangkan janji kedua-dua arwah anaknya yang mahu pulang ke kampung pada Hari Raya Aidiladha bulan depan, namun tidak kesampaian.

Untuk rekod, media semalam melaporkan dua beradik maut selepas motosikal dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori di lokasi kejadian kira-kira jam 7.05 pagi.

Author

Pilihan Editor