SERDANG: Empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kes tembak melibatkan kematian seorang lelaki di sekitar Bandar Kinrara, Puchong, di sini, pada Khamis lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek yang ditahan masing-masing berumur 30-an hingga 40-an itu kini direman hingga 18 Mei untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh dan motif pembunuhan ini dipercayai berkaitan aktiviti gengsterisme dan dendam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 31 tahun itu mempunyai sebilangan rekod jenayah dan terlibat dengan kegiatan gengsterisme.
“Kami masih siasat dan pendekatan kita ada berkaitan dengan kegiatan gengsterisme yang mangsa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan di Balai Polis Seri Kembangan, Serdang di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, seorang lelaki yang memiliki 21 rekod jenayah maut ditembak dalam kejadian di Jalan Bandar 1, Puchong di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan dilapor berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 12.35 tengah malam ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke kenderaan selepas makan di medan selera berhampiran.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas berusia 70-an yang ditemukan mati di dalam kenderaannya di Selayang lima hari lepas, Hussein berkata motif kejadian dipercayai disebabkan hutang oleh suspek yang ditahan.
“Suspek ada berhutang dengan si mati. Mereka kenal antara satu sama lain dan tinggal di kawasan berhampiran. Suspek juga dikatakan selalu meminjam wang si mati dan disyaki untuk perniagaan barangan kemas kecil-kecilan milik suspek.
“Sebelum itu, suspek ada meminjam RM3,000. Pada hari kejadian, suspek ada bertemu dengan mangsa dan dipercayai berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga menyebabkan suspek menikam mangsa menggunakan garfu,” katanya.
Pada Rabu lepas, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang warga emas yang mayatnya ditemukan berlumuran darah di dalam sebuah kereta di kawasan lapang berhadapan sebuah pusat beli-belah di Selayang, Jalan Selayang Baru. – BERNAMA