KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 hari ini memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil sokongan 19 parti politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah stabil.
Berucap buat julung kali di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini selepas 25 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isyarat kestabilan itu bukan sahaja kepada rakyat, malah kepada dunia.
“Kerajaan ini bukan sahaja stabil, tapi akan kekal sehingga PRU akan datang,” katanya dalam Amanat Perdana sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini hari ini yang dihadiri lebih 3,500 perwakilan.
Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata kejayaan penganjuran konvensyen hari ini juga sekali gus menidakkan “cakap-cakap” bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya sejak enam bulan lalu tidak dapat bertahan.
“Kerajaan Perpaduan kuat, yang mengigau masih mengigau. Kerajaan Perpaduan kuat untuk melaksanakan janji kepada rakyat,” katanya.