HomeBeritaMalam Amal Tahunan Budimas berjaya kumpul RM400,000

Malam Amal Tahunan Budimas berjaya kumpul RM400,000

 

KUALA LUMPUR: Malam Amal Tahunan Yayasan Kebajikan Budimas – A Night of a Thousand Blessing 2023 yang diadakan Khamis lalu, sempena ulang tahun ke-25 Budimas berjaya mengumpul dana lebih RM400,000 yang digunakan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik serta masyarakat Orang Asli.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Budimas, Anne Rajasaikaran berkata, antara tunjang utama tahun ini adalah berusaha ke arah penambahan dana secara menyeluruh di bawah program teras utama, Budimas Home Charitable Fund, Budimas Food Charity Fund dan Budimas Education Charity Fund, serta dua inisiatif tambahan program tambahan baharu.

“Melalui dana yang disumbangkan sedikit sebanyak berjaya memberikan bantuan yang mencukupi sama ada kepada individu atau sesebuah komuniti.

“Yayasan Kebajikan Budimas telah mencapai kejayaan luar biasa dalam misi menaik taraf kualiti kehidupan 5,000 kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari lebih 100 rumah kebajikan,” katanya.

Malah Budimas juga menguruskan Pusat Jagaan Kebajikan Kanak-Kanak Budimas Orion (Budimas Orion Home), yang menawarkan tempat tinggal kepada 150 kanak-kanak yang dilengkapi kemudahan asas di Senawang, Negeri Sembilan.

Selain itu, Budimas berjaya membina 10 perpustakaan awam di kawasan Orang Asli dan pedalaman di Pahang (1), Selangor (6), dan Negeri Sembilan (3) bagi memberi pendedahan pembelajaran kepada anak-anak Orang Asli dan dengan komuniti sekitar.

Di samping itu, program Budimas Food Charity Fund telah menyediakan sarapan pagi kepada lebih 10,000 pelajar sekolah di seluruh semenanjung Malaysia.

Menurut Pengerusi Yayasan Kebajikan Budimas, YM Tunku Dato’ Yaacob Khyra, matlamat Yayasan Kebajikan Budimas bagi tahun 2023 adalah untuk meningkatkan jumlah bantuan program kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan masyarakat Orang Asli.

“Tahun ini, Budimas akan membina dua lagi perpustakaan di penempatan Orang Asli di Melaka dan akan menyediakan tambahan sarapan pagi yang berkhasiat kepada 6,000 kanak-kanak kurang bernasib baik di sekolah-sekolah awam seluruh semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambah Tunku Yaacob, objektif Budimas adalah untuk meningkatkan sokongan untuk tambahan 50 rumah kebajikan dan rumah anak yatim serta akan menambah tujuh rumah kebajikan baharu dalam 10 tahun yang akan datang.

Malah, penambahan dua lagi program teras baharu iaitu The Budimas Charitable Foundation’s Performing Art Special Campaign bertujuan menyediakan geran dan bantuan kewangan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik berkecimpung dalam seni persembahan, manakala Budimas Children Medical Care Fund Foundation Programme adalah untuk menyediakan bantuan kewangan untuk penyakit jarang atau ‘Rare Disease’ dan masalah jantung.

Malam Amal Tahunan Budimas itu dimeriahkan dengan persembahan yang menarik seperti Silat Flashmob, persembahan tradisional Orang Asli dan Dikir Barat oleh anak-anak dari Yayasan Kebajikan Budimas Orion.

Antara acara kemuncak yang menarik perhatian ialah acara “Silent Auction” yang mempamerkan barangan termasuk lukisan, koleksi berlian dan percutian eksklusif di mana semua hasil kutipan pembelian daripada acara tersebut disalurkan terus ke dana amal utama Budimas.

 

Author

Pilihan Editor