HomeBeritaViralNetizen sebak lihat dua beranak jalan kaki tengah panas pergi ‘interview’ kerja

Netizen sebak lihat dua beranak jalan kaki tengah panas pergi ‘interview’ kerja

CYBERJAYA: Bukan semua orang beruntung dilahirkan dalam keluarga yang senang.

Baru-baru ini, tular video perkongsian seorang lelaki berhubung kesusahan yang dialami dia sekeluarga dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Video yang dikongsi seorang lelaki dikenali Azam Saleh di TikTok miliknya memaparkan kakak dan ibunya berjalan kaki sambil berpayung dalam panas terik demi mencari kerja.

“Hari ni kakak saya interview kerja. Doakan semoga kakak saya dapat kerja.

“Mak saya pula nak ikut sebab nak cari kerja juga. Sebaknya bila tengok kakak dan mak jalan kaki macam ni.

“Ya Allah, aku tahu kau sedang menguji aku dan keluarga. Aku terima dengan hati yang sangat terbuka,” tulisnya dalam video itu.

Menerusi ruangan kapsyen video, Azam memberitahu hantaran itu dimuat naik bertujuan untuk meluahkan masalah yang dialaminya bukan untuk simpati semata-mata.

“Kalau siapa-siapa rasa saya buka aib sendiri, demi Allah niat saya cuma nak meluahkan saja.

“Ya betul kalau ada apa-apa, cari Allah tapi kadangkala saya perlukan seorang hamba Allah yang ikhlas sudi untuk mendengar luahan hati ini,” tulisnya.

Dalam pada itu, rata-rata warga net meninggalkan komen dengan doa supaya Azam sekeluarga dikurniakan rezeki yang halal.

Author

Pilihan Editor