ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas berpesta gol menewaskan Penang FC 5-0 pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.
Pesta gol skuad Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari bagaimanapun bermula lewat apabila perlu menunggu sehingga minit ke-32 untuk gol pembukaan selepas Ousmane Fane tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan percubaan Fernando Forestieri yang terkena palang.
Enam minit kemudian, Jordi Amat menambah jaringan JDT selepas menyudahkan tandukan Shane Lowry dalam kotak penalti untuk meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0.
Ketinggalan dua gol, skuad Harimau Kumbang dilihat bergelut mencari rentak apabila hanya berjaya melakukan percubaan dari jarak jauh selepas gagal menembusi kekentalan barisan pertahanan JDT dan ketangkasan penjaga gol Mohd Farizal Marlias.
Bersambung babak kedua, JDT terus menggandakan asakan ke kubu lawan sebelum berhasil meledak gol ketiga apabila pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan penalti pada minit ke-49 yang diberikan pengadil selepas bola terkena tangan Mohammad Khairul Akmal Rokisham.
Biarpun selesa mendahului 3-0, JDT tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan permainan, sebaliknya terus menambah derita Penang menerusi gol keempat hasil rembatan La’vere Lawrence Corbin Ong pada minit ke-58.
Muhammad Syafiq Ahmad melengkapkan malam gemilang JDT di hadapan penyokong sendiri apabila menjaringkan gol kelima pasukan pada masa kecederaan babak kedua sekali gus memastikan pasukan melangkah ke separuh akhir dengan bergaya.
JDT akan membuat perhitungan menentang Selangor pada peringkat separuh akhir dalam misi mempertahankan kejuaraan. – BERNAMA