WASHINGTON: Satelit penyampai komunikasi untuk 21 anggota Liga Arab dijadualkan dilancarkan pada malam Selasa dari Stesen Angkasa Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat.
SpaceX merancang untuk membawa satelit ARABSAT BADR-8 ke orbit menggunakan roket Falcon 9 dari Kompleks Pelancaran 40, dengan tetingkap pelancaran 127 minit yang dibuka pada 11.25 malam EDT, lapor United Press International (UPI).
Bagaimanapun, peramal menjangkakan 70 peratus peluang penangguhan kerana awan tebal dan kilat di kawasan itu, menurut SpaceX.
Roket itu akan membawa satelit sejauh 35,888 km di atas Bumi untuk meningkatkan telekomunikasi antara negara di Eropah, Asia Barat, Afrika dan Asia tengah.
Satelit itu dilengkapi dengan transponder yang besar untuk penerimaan televisyen satelit dan komunikasi dalam apa yang dipanggil jalur KU dan C.
Arabsat dibangunkan oleh Airbus Defense and Space di Toulouse, Perancis. Ia mempunyai berat 4.9 tan dan menggunakan pendorong elektrik yang inovatif dan jangka hayat operasinya sekurang-kurangnya 15 tahun.
Jika cuaca baik dan semuanya berfungsi dengan baik pada malam Selasa, Falcon 9 dan muatannya akan mencapai kelajuan maksimum 28,003 km sejam. – BERNAMA-UPI